Sunday, 22 January 2017

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir bab ini, pelajar akan dapat:

  1. Menjelaskan konsep dan objektif pengurusan Islam
  2. Menerangkan peranan tauhid sebagai asas pengurusan Islam
  3. Membandingkan pengurusan Islam dan Barat
  4. Membincangkan contoh model pengurusan zaman Rasulullah SAW

Memahami konsep pengurusan Islam

Sistem pengurusan Islam adalah satu sistem yang sangat lengkap dan sistematik di mana ia berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Prinsip pengurusannya jelas, penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur, pengawasan yang menyeluruh dan terperinci dan motivasi yang mempunyai asas yang kukuh untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan tidak semata-mata kebendaan dan keduniaan sahaja. 

Pengertian pengurusan dan pentadbiran 

Pengurusan 

Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti disekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan sebuah keluarga, komuniti atau organisasi hinggalah kepada pengurusan sebuah negara. 

Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Urusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang konsep pengurusan pasti mencakupi 3 elemen utama iaitu: 
  • Pengurus 
  • Organisasi 
  • Tatacara atau garis panduan pengurusan. 
Definisi pengurusan seperti yang telah dinyatakan menjelaskan beberapa sebab pengurusan amat perlu dalam sesebuah organisasi. 

Antara keperluan pengurusan termasuklah : 
1.  Tanpa pengurusan, sesebuah organisasi tidak mungkin dapat beroperasi dengan lancar dan bersistematik. 
2.   Pengurusan perlu supaya kerja yang sepatutnya dapat dilaksanakan dengan cekap dan pantas.
3. Pengurusan dapat membantu sesebuah organisasi mencapai objektif yang dikehendaki. 
4.     Pengurusan perlu bagi membolehkan organisasi menangani perubahan. 
5.     Pengurusan sebagai tuntutan fardhu kifayah ke arah mencapai al-falah

PROSES PENGURUSAN

Satu cara untuk mengetahui proses pengurusan adalah dengan mengenalpasti fungsi-fungsi asas yang bersama-sama mewujudkan proses tersebut. Fungsi ini merupakan asas bagi aktiviti pengurusan pada setiap peringkat pengurusan
  • Ramalan dan Perancangan = Pengurus melihat masa depan dan membuat keputusan berhubung atau berdasarkan tindakan yang akan diambil
  • Pengelolaan = Pengurus mengumpul kerja-kerja yang berkaitan dalam kelompok tersendiri, kemudian menyusun ahli-ahli dan seterusnya menetapkan tugas ahli-ahli
  • Arahan = Pengurus memberi arahan dan panduan untuk memastikan kerja dapat dibuat dengan cekap dan sempurna.
  • Penyelarasan = Pengurus menyatukan segala usaha dan aktiviti yang dikira penting serta memastikan segala aktiviti berjalan sesuai dengan rancangan yang telah ditetapkan.
  • Kawalan = Pengurus membuat pemeriksaan dan penyeliaan yang berterusan tentang pelaksanaan rancangan dan memastikan tindakan yang diambil tepat.
Pentadbiran

Asas sesebuah pentadbiran adalah untuk mencapai matlamat organisasi melalui kakitangannya yang cekap, amanah, setia, dedikasi dan berkesan. Dalam melaksanakan tugasnya, manusia memerlukan keseluruhannya pengurusan, kepimpinan, pengambilan keputusan, perhubungan manusia dan kelengkapan kerja membentuk satu sistem pentadbiran.

Definisi Pentadbiran

Menurut Kamus Dewan, pentadbiran bererti perbuatan melaksanakan urusan mengelola atau menjalankan sesuatu pejabat, kerajaan dan lain-lain lagi. Dengan kata lain pentadbiran ialah satu perlakuan untuk mengurus atau bertindak sebagai ejen dalam hal-ehwal fungsi pemerintahan atau fungsi kerajaan. Pengurusan membawa makna atau konsep betul dan cekap.Memanglah tepat kalau kita mengatakan bahawa pentadbiran ialah sains pengurusan mengenai pengendalian perjalanan pekerjaan atau sesuatu organisasi dengan betul dan cekap.

Dr. S.P Siagian mengklasifikasikan proses pentadbiran kepada tujuh peringkat kegiatan iaitu:

  • Penentuan tujuan yang hendak dicapai, dimana sifat, skop dan bentuk tujuan itu akan menentukan kegiatan yang seterusnya
  • Perumusan tugas yang hendak dilaksanakan, dimana mencakupi tujuan akhir, strategi perlaksanaan dan taktik yang hendak digunakan
  • Perumusan polisi, dimana pimpinan organisasi bertanggungjawab untuk merumuskan polisi-polisi tertentu sebagai langkah awal kearah perlaksanaan
  • Pengambilan keputusan, di mana ia merupakan satu proses yang penting dalam pentadbiran
  • Perlaksanaan melalui keputusan organisasi membolehkan tindakan selanjutnya dilaksanakan, atau dengan kata lain dipanggil fungsi pengurusan seperti perancangan, pengendalian, motivasi dan sebagainya.
  • Penilaian semula atau bedah siasat (post mortem), membolehkan pengukuran dan perbandingan daripada hasil kegiatan operasi yang dicapai dengan sasaran atau standard yang telah ditetapkan sebelumnya
  • Pengawasan melalui pembinaan dan penggunaan sistem maklum balas, di mana merupakan satu proses pengolahan hasil penilaian bagi memperbaiki dan membentuk satu proses pentadbiran yang lain seperti perumusan kembali perjalanan organisasi, perumusan polisi baru, perancangan semula, memperbaiki sistem pengurusan dan sebagainya.

PERANAN TAUHID SEBAGAI ASAS PENGURUSAN

PENGENALAN

Islam adalah sebagai satu cara hidup. Maka dengan itu, ianya tidak dapat dipisahkan dengan paksi Islam itu sendiri iaitu tauhid. Melalui ‘roh tauhid’ inilah masyarakat jahiliah Arab bangkit daripada kehidupan yang penuh kesesatan dan kejahilan kepada satu bangsa yang agung dan hebat pada satu ketika dahulu.

Konsep Tauhid

Pendekatan yang bersepadu dalam pengurusan atau pentadbiran Islam semestinya berteraskan kepada konsep tauhid. Tauhid merupakan intipati ajaran Islam. Maka, tauhid bermakna hanya Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian makhlukNya. Konsep tauhid mencerminkan pandangan dunia dan alam yang bersepadu. Keesaan Allah SWT bukan hanya sebagai konsep metafizika tetapi lebih merupakan doktrin yang dinamik dan revolusioner. Ini bermakna setiap manusia adalah makhluk Allah SWT.
Konsep ini meletakkan kedudukan manusia pada tahap yang sebenarnya dalam alam dan menerangkan kenapa dan untuk tujuan apakah manusia diciptakan oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta, sementara manusia telah ‘dilantik’ sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Konsep tauhid bertujuan untuk menjalinkan ikatan di antara manusia dengan :

Penciptanya (Hablun Minallah)

Manusia tidak boleh mengagung-agungkan inovasi-inovasi manusia berupa perundangan, adat-istiadat, teori-teori dan falsafah-falsafah yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. (Jiwa Mohd.Isa (1998). "Konsep Pengurusan dari Perspektif Islam”.Jurnal Produktiviti,5) Secara idealnya pula, seseorang itu tidak harus tunduk atau menurut perintah ketuanya ataupun mana-mana pihak sekiranya perintah tersebut jelas berlawanan dengan prinsip-prinsip Islam.

Sesama Manusia (Hablun Minannas)

Menyeru manusia memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan kerjasama antara mereka bagi kesejahteraan hidup bermasyarakat. Hubungan di antara manusia sesama manusia hendaklah berlandaskan kepada nilai-nilai persaudaraan, toleransi, kasih sayang, persefahaman dan keadilan. Jika nilai-nilai ini diabaikan, masyarakat akan menjadi kucar-kacir, dipenuhi dengan syak wasangka,permusuhan dan perbalahan

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menerangkan makna dan intipati tauhid ini dengan sebenarnya.

1.Tujuan Penciptaan Manusia
“Dan tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Aku (Allah) SWT.” (Az-Zariyat : 56)
2. Mendapat Keredhaan Allah SWT
“…Yang sepatutnya mereka cari ialah keredhaan daripada Allah dan Rasulnya, sekiranya mereka adalah daripada orang yang beriman.” (At-Taubah ; 62)
Implikasi Tauhid Terhadap Pengurusan

Sekiranya semangat tauhid dengan kalimah la ilaha illallah ini dijiwai oleh individu muslim dengan sepenuhnya, maka ia akan memberi implikasi yang mendalam kepada kehidupan sehariannya. Secara khususnya, penghayatan konsep tauhid akan memberikan lapan kesan utama terhadap minda, sikap dan perlakuan seseorang muslim. Ini kita hubungkaitkan dengan implikasinya terhadap bidang pentadbiran atau pengurusan seperti berikut :

1. Individu muslim akan bersikap terbuka, tidak jumud dan sempit fikirannya. Dari sudut pengurusan, dia akan menjadi seorang pekerja yang beramanah, cekap dan berdisiplin. Dia melihat organisasi sebagai satu unit kecil daripada sistem alam semesta yang tujuan akhirnya adalah untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT.

2. Melahirkan insan yang mempunyai harga diri (self-respect) dan keyakinan diri (self-esteem) yang paling tinggi. Dalam organisasi , individu seperti ini akan berani memperkatakan sesuatu yang hak dan benar,walaupun ini boleh menjejas kedudukannya. Walaupun demikian, sekiranya ini perlu dilakukan di hadapan seorang ketua, ia hendaklah dilakukan dengan cara yang hikmah.

3. Menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri dan tawaduk. Ia tidak bersikap sombong, angkuh dan bongkak walaupun mempunyai kuasa atau autoriti dalam organisasi. Sikap pekerja atau pengurus seperti ini akan dapat membentuk budaya kerja yang dicirikan oleh semangat hormat-menghormati, prihatin dan tolong-menolong di antara satu sama lain.

4. Konsep tauhid akan menjadikannya manusia itu orang yang soleh, berani dan berdiri tegak dalam kebenaran. Individu tersebut percaya dia tidak akan menempah kejayaan melainkan dia mengikut perintah Allah SWT. Keyakinan seperti ini sudah tentunya akan menjadikan seseorang pekarja atau pengurus itu mengamalkan nilai-nilai murni, amanah dalam tanggungjawab dan rajin serta cekap menjalankan tugas.

5. Tidak akan mudah putus asa apabila berlakunya musibah ataupun kegagalan

6. Semangat tauhid membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman dan kesungguhan yang tinggi.

7. Mewujudkan sikap aman, redha dan menghakiskan sikap dengki, tamak haloba dan iri hati.

8. Membuatkan manusia patuh kepada peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT

Pendekatan yang bersepadu dalam pengurusan semestinya berteraskan konsep tauhid. Konsep tauhid ini mencerminkan pandangan dunia dan alam yang bersepadu. Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian mahluk-Nya. Oleh itu sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam hendaklah berteraskan kepada konsep tauhid tersebut.

Seandainya semangat tauhid ini dijiwai dan dipraktikkan oleh individu Islam dengan sebenar-benarnya, maka sudah semestinya ianya akan menghasilkan implikasi dan impak yang sangat hebat dalam kehidupan seharian.

Implikasi yang boleh dikaitkan dengan pentadbiran ialah :
1. Individu muslim akan bersifat terbuka, tidak jumud dan sempit pemikirannya.
2. Konsep tauhid akan melahirkan insan yang ada harga diri dan keyakinan diri yang begitu tinggi.
3. Semangat tauhid menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri.
4. Pegangan konsep tauhid akan menjadikan manusia itu orang yang soleh, berani bertindak dan berdiri tegak dengan kebenaran.
5. Orang yang beriman tidak mudah putus asa apabila ditimpa kegagalan.
6. Semangat tauhid membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman, dan kesungguhan yang tinggi.
7. Semangat tauhid mewujudkan sikap aman, reda dan menghakis sikap tamak, haloba dan dengki.
8. Konsep tauhid membuatkan manusia patuh kepada peraturan-peraturan Allah.

Menerangkan konsep al-istikhlaf.

Istikhlaf ialah suatu istilah yang bermakna ketetapan manusia yang ditugaskan dan diwakilkan oleh Allah SWT untuk membangun dan memakmurkan dunia. Penugasan ini dikuatkuasakan Allah dengan mengangkat manusia sebagai wakil-Nya(khalifah) dan pemegang amanahNya untuk mentadbir dan memajukan kehidupan dunia. Dalam erti kata lain istikhlaf merupakan satu prinsip dengan jelas dan tegas menzahirkan penugasan Ilahi ke atas manusia iaitu untuk menjadi pengurus dunia.
Prinsip istikhlaf ialah satu ketetapan Ilahi yang diperuntukkan kepada manusia sejak awal kejadian iaitu semasa Nabi Allah Adam diciptakan. Manusia dipilih oleh Allah untuk diberi kepercayaan dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain iaitu untuk memikul tugas membangun dan memakmurkan dunia.
Dari prinsip istikhlaf inilah berpaksinya sistem kerana bermula dari titik inilah manusia ditetapkan dengan tanggungjawab mengurus segala isi kandungannya. Ianya adalah termasuk manusia itu sendiri, segala sumber kekayaan alam dan segala pemberian serta kemurahan Ilahi dalam bentuk ilmu termasuk sains dan teknologi.
Berdasarkan Firman Allah yang bermaksud : “Bagi Allahlah segala yang ada di langit dan di bumi”. Terjemahan Surah al-Maidah : 17. 
Oleh itu manusia bertanggungjawab menjaga, mengolah, mengguna dan mengagihkan harta yang mereka miliki sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan bagi mereka yang memerlukannya.

Secara terperincinya boleh dijelaskan seperti berikut :-

i) Melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.

Kedudukan ini meletakkan individu untuk menjaga semua kurniaan Allah S.W.T dalam keadaan keadaan yang baik. Dengan kewajipan ini, aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kerosakan kepada diri dan orang lain, kerosakan kepada alam sekitar, pembaziran dan pemborosan, pengabaian terhadap sumber-sumber manusia dan asli dan lain-lain aktiviti yang seumpama ini adalah dilarang. Status manusia dalam konteks ini diciptakan untuk menjaga kurniaan Allah S.W.T dan bukan untuk mendatangkan kerosakan kepadanya. Tentang kedudukan manusia sebagai khalifah ini, Allah berfirman yang bermaksud :
“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikannya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaannya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-An’am ayat 165)

ii) Memakmurkan bumi

Umat Islam mestilah berusaha untuk melakukan kebaikan, menambah pengeluaran, mempertingkatkan kidmat bakti kepada masyarakat, membangun dan menggalakkan pertumbuhan. Tentang peranan ini, al-Quran menjelaskan dalam surah Huud ayat 61 yang bermaksud : “Dia telah menciptakan kamu dari bumi dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya”. Falsafah ini jelas mengikat manusia dengan peranan yang positif untuk memakmurkan bumi. Dalam perspektif kegiatan ekonomi, falsafah ini akan menjuruskan segala aktiviti perekonomian di atas landasan yang sihat dan bermanfaat.

Membandingkan Pengurusan Islam dan Barat

Pengurusan Islam  = Berdasarkan paradigm tauhid yang menekankan keseimbangan dan kesepaduan antara tuntutan keduniaan dan akhirat. Keuntungan dan tanggungjawab sosial membawa kepada kebaikan hidup individu,organisasi, Negara dan ummah secara menyeluruh


Pengurusan Barat  = Tidak berteraskan prinsip agama, malahan bersifat dualism dalam banyak hal. Memaksimumkan keuntungan untuk kebaikandiri, organisasi serta negara dari sudut kebendaan dan keduniaan semata-mata

موديل ڤڠوروسن زمان رسول الله صلى الله عليه وسلم

ڤڠوروسن اسلام برصفة رباني كران سيستمڽ اداله برلندسكن كڤد شريعة يڠ تله دتتڤكن اوليه الله سبحان وتعالى سيستم ڤڠوروسن اسلام بوكنله مروڤاكن ساتو سيستم يڠ دريكا دان دچيڤتا اوليه مأنسي تتاڤي مروڤاكن ساتو سيستم يڠ دچيڤتا دان دتورونكن سنديري اوليه الله سبحان وتعالى ملالوءي ڤرانتارأن رسول الله يڠ دلانتيق دان سوده تنتوله بڬيندا صلى الله عليه وسلم منجادي چونتوه يڠ ترباءيق كڤد مأنسي دالم مڠوروسكن اوروسن دنياوي ماهوڤون اخروي.

رسول الله ساو سباڬاي ڤميمڤين ترتيڠڬي يڠ دلانتيق اوليه ڤميمڤين يڠ مها تيڠڬي مك واجر دجاديكن اسوه حسنة ﴿چونتوه تاولادان﴾. ڬاي كڤيمڤينن، دوروڠن دان صفة بڬيندا يڠ ڤڽايڠ تله برجاي مرڠسڠ اومت اسلام اونتوق منچاڤأي متلامت يڠ درانچڠ.

ڤڠوروسن رسول الله  صلى الله عليه وسلم تله ملالوءي دوا ايرا يڠ برلاينن ايايت :
ا. ايرا مكه
اا. ايرا مدينه

PENGURUSAN RASULULLAH SAW ERA MAKKAH

ERA MAKKAH

A. Pengurusan Rasulullah Saw Dari Segi Penyebaran Dakwah

Dakwah Secara Rahsia

Peringkat dakwah secara rahsia telah berjalan selama 3 tahun di Mekah. Dakwah telah disampaikan kepada orang-orang yang paling dekat hubungannya dengan Nabi Muhammad SAW, iaitu di kalangan ahli keluarga dan sahabat handai Baginda SAW.
Pada hari pertama dakwah, seramai 4 orang telah memeluk Islam. Mereka ialah :-

i.          Khadijah binti Khuwaylid (isteri Baginda)
ii.         Zayd bin Thabit bin Shurahbil al-Kalbi (hamba Baginda)
iii.        Ali bin Abu Talib (sepupu Baginda, beliau masih kanak-kanak dan di bawah jagaan Baginda)
iv.        Abu Bakar as-Siddiq (sahabat setia Baginda)

Seterusnya bilangan yang memeluk Islam semakin bertambah hingga bilangannya melebihi 40 orang. Walau bagaimanapun, berlaku perselisihan berkaitan bilangan mereka di kalangan para ulama. Golongan yang terawal memeluk Islam digelar sebagai al-Sabiqun al-Awwalun.

Antara perintah awal yang diturunkan ilah perintah mendirikan solat. Sepanjang tempoh rahsia ini, terbentuk persaudaraan akrab di kalangan orang yang memeluk Islam. Setelah hampir 3 tahun, orang-orang Quraisyh Mekah mula mengetahui dakwah sulit itu. Walaupun pada awalnya mereka tidak mempedulikan, namun mereka tetap menghantar orang untuk mengintip untuk mengetahui hasil dakwah Nabi Muhammad SAW.

Dakwah Secara Terbuka

1. Terus terang kepada Kaum Kerabat

Dakwah secara terbuka berlaku pada tahun ke -4 kenabian Baginda SAW. Ayat pertama yang turun berkenaan hal ini ilaha ayat 214 dari surah Asy-Shu’ara’ :
Ertinya : Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.
Usaha dakwah secara terbuka kepada kaum kerabat dapat dibahagikan kepada beberapa langkah :

1.     Memanggil Bani Hashim. Turut serta ialah Bani al-Muttalib bin 'Abd Manaf. Sebelum Nabi SAW berucap, Abu Lahab terlebih dahulu memberikan ucapan dengan meremehkan Nabi SAW.
2.     Baginda memanggil mereka kali kedua. Kali ini, Abu Talib telah mengatakan bahawa sokongan akan diberikan terhadap apa yang diucapkan oleh Nabi SAW.
Selesai Nabi Muhammad SAW berucap, Abu Lahab telah menjerit, 
“Celaka engkau seluruh hari ini, adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?” Kemudian turunlah ayat dari surah Al-Masad bagi mencela perbuatan Abu Lahab tersebut.
2. Terus terang kepada orang ramai (umum)

Peringkat ini dijalankan oleh Rasulullah SAW setelah turunnya perintah Allah di dalam Surah al-Hjir ayat 94 :
Ertinya : Sampaikanlah secara berterus terang apa yang diperintahkan kepada kamu (wahai Muhammad) dan jangan engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum musyrikin.
Apabila turun ayat ini, Rasulullah terus menjemput kaum Quraisy serta pembesar-pembesar Quraisy menghadiri perjumpaan (rapat umum) di kaki bukit Safa dan menyeru mereka kepada agama Islam dan menyembah Allah SWT.
Dakwah pada peringkat ini menerima tentangan hebat dari kafir Quraisy. Penganut Islam khususnya golongan hamba dan orang miskin menerima pelbagai penyeksaan. Selepas peringkat ini, ajaran Islam terus tersebar luas dan pemgikut Islam semakin bertambah meliputi penduduk Mekah dan luar Mekah.


B. Pengurusan Rasulullah SAW Dari Segi Pendidikan

Perutusan Nabi Muhammmad SAW sebagai rasul merupakan titik permulaan kepada satu era baru dalam bidang pendidikan. Pendidikan bersepadu telah diamalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW dengan Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan panduan dan sumber ilmu. Pendidikan yang berpaksikan tauhid telah dinyatakan dengan jelas dari segi matlamat dan konsep yang mendasarinya.
Generasi pertama didikan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Pada masa wahyu pertama diturunkan oleh Allah SWT di kota Mekah hanya terdapat 12 orang sahaja penghuninya yang tahu membaca. Namun pandangan Rasulullah SAW terhadap perlunya ilmu dapat dilihat dalam tindakan bijaknya apabila memberi pilihan kepada musuh Islam yang ditangkap dalam Perang Badar. Tawanan diberi pilihan untuk menebus diri dengan mengajar 10 orang kanak-kanak Islam Madinah membaca dan menulis.

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah berpandangan jauh dengan membuat perancangan terhadap pendidikan masyarakat Islam pada masa tersebut untuk dijadikan contoh kepada masyarakat Islam seterusnya.

Contoh-contoh perancangan Baginda SAW Dalam Bidang Pendidikan

1.     Menyampaikan ilmu Pendidikan Islam = Rumah Al-Arqam ibn Abi Al-Arqam merupakan Pendidikan Islam yang pertama, iaitu pada tahun 610 M. Galakan Rasulullah SAW kepada umat Islam supaya menguasai berbagai ilmu pengetahuan bukan sekadar kata-kata dalam bentuk sabda dan teori sahaja, malahan diperlihatkannya menerusi amalan. Baginda tidak henti-henti menyampaikan ilmu Allah itu sama ada di rumahnya, di rumah sahabat , di masjid mahupun di tempat-tempat perhimpunan. Baginda SAW sekali-kali tidak mengizinkan individu dan masyarakat Islam berada dalam kejahilan dan buta huruf.
2.     Perintahkan sahabat belajar menulis = Baginda menyuruh agar setiap seorang memberi pelajaran kepada keluarganya. Pada zaman permulaan itu, umat Islam hanyalah mengambil berat tentang hukum-hukum agama daripada Al-Quran dan tafsirnya, hadis dan hal-hal mengenai periwayatan hadis serta bagaimana menentukan hukum hakam mengenai sesuatu perkara dan masalah yang baru berlaku dari satu masa ke satu masa
3.     Galakan kepada kaum perempuan untuk menuntut ilmu = Rasulullah SAW amat-amat menggalakkan kaum perempuan supaya sama-sama menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai contoh Baginda pernah mengundang Shafah Al-Adawiyah mengajar isterinya Sayyidah Hafsah menulis dan membaca. Galakan Rasulullah itu kemudiannya menghasilkan bilangan umat Islam yang ramai tahu membaca dan menulis sama ada lelaki atau perempuan.
C. Perancangan Rasulullah Sebelum Berhijrah

Sebelum berhijrah, beberapa perancangan dan penyusunan kerja telah dilakukan oleh Rasulullah dan Sayyidina Abu Bakar iaitu :

  • Mengupah Abdullah bin Arqat sebagai penunjuk jalan. Beliau bukan seorang yang beragama Islam.
  • Memberi tanggungjawab kepada anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdullah bin Abu Bakar supaya tinggal di Mekah pada siang hari untuk merisik hal ehwal puak Quraisy setelah Rasulullah dan Sayyidina Abu Bakar keluar dari rumah mereka. Pada sebelah malam, Abdullah pergi berjumpa mereka berdua untuk member perkhabaran tentang orang Quraish.
  • Memberi tanggungjawab kepada pengembala ternakan, iaitu ‘Amir bin Quhairah supaya membawa ternakannya ke tempat persembunyian mereka bagi menghilangkan kesan tapak kaki mereka pada siang hari dan memberikan mereka minum susu pada waktu malam.
Contoh di atas membuktikan bahawa perancangan dan pengurusan adalah perkara yang amat penting dalam Islam.


Thursday, 8 December 2016

ETIKA KERJA ISLAM, TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DAN PEKERJA

PENGENALAN

Setiap profesion mempunyai etikanya yang tersendiri. Semakin tinggi taraf keprofesionalan sesuatu bidang, maka semakin tinggi dan tegas kod etika profesion tersebut. Sejarah telah membuktikan kepentingan etika dalam kehidupan dan ianya telah menjadi topik perbincangan sejak zaman dahulu lagi. Etika merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kerana ianya menjadi asas untuk seseorang bertindak yang akhirnya menjadi nilai yang dihormati dan diterima-pakai dalam masyarakat. Begitu juga denga pengurusan dalam Islam. Ianya mempunyai etika tersendiri yang mampu menyumbang kepada kejayaan dan kemantapan sesebuah organisasi yang dipimpin.

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DAN PEKERJA

Pengenalan

Dalam Islam, etika atau moral ini mirip kepada konsep akhlak walaupun ianya berbeza dengan moral Barat. Hal ini kerana akhlak dalam Islam, dasarnya ditentukan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Ianya bersifat mutlak, menyeluruh dan mempunyai pertimbangan dosa dan pahala.

Kepentingan etika

Antara kepentingan etika ialah :
  1. Memupuk nilai dan sikap yang positif dalam sesebuah organisasi.
  2. Membentuk kawalan dalaman di kalangan warga organisasi dan mengukuhkan sistem kawalan luaran sedia ada.
  3. Membentuk budaya positif dalam organisasi.
  4. Satu usaha menuju ke arah kecemerlangan dan membentuk motivasi yang unggul.
  5. Menggalakkan persaingan yang sihat berdasarkan etika kerja yang disepakati.
  6. Membantu mengurangkan pelbagai bentuk penyelewengan dalam organisasi.
  7. Menyumbang kepada pembentukan organisasi yang berintegriti dan dihormati
Etika Kerja Islam

Islam juga telah menggariskan etika kerja yang perlu dihayati oleh para penganutnya dalam aktiviti harian mereka. Etika kerja ini merupakan salah satu aspek utama dalam system pengurusan Islam. Sebagai garis panduan, Prof Dr. Muhammad Abdul Rauf telah mengemukakan sepuluh etika kerja yang perlu dipraktikkan untuk mewujudkan Sistem Pengurusan Islam yang kukuh.

Etika kerja tersebut, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

Etika kerja untuk semua peringkat
  1. Objektif jangka panjang di dunia ini hendaklah dihubungkaitkan dengan objektif jangka panjang yang sebenarnya iaitu beribadah kepada Allah swt dan memohon keredaan-Nya.
  2. Nilai-nilai agama dan moral hendaklah diambil kira semasa bekerja.
  3. Masa mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya dan bukan untuk disia-siakan.
  4. Nilai-nilai luhur dalam etika Islam seperti amanah, dedikasi, disiplin, kejujuran, menahan diri dan ketakwaan hendaklah diamalkan.
  5. Sikap menilai diri sendiri mestilah sentiasa diamalkan supaya kesalahan atau kesilapan tidak dilakukan dengan berulang-kali.
Etika kerja yang lebih relevan kepada pucuk pimpinan dalam pentadbiran
  1. Tidak harus ada pilih kasih atau diskriminasi dalam sistem pentadbiran.
  2. Keperluan dan keadaan manusia hendaklah dipertimbangkan dalam memberi sesuatu tugas dan layanan kepada para pekerja.
  3. Gaji yang adil hendaklah dibayar dengan cepat.
  4. Perlu ada ganjaran yang berpatutan untuk pencapaian yang cemerlang dan langkah-langkah yang cukup untuk mengesan dan mengelakkan pelanggaran peraturan.
  5. Musyawarah dan kerjasama seharusnya diamalkan dengan sepenuhnya

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN

Antara tanggungjawab majikan :

1.Mengambil kira maslahah

Maslahah ialah penjagaan kepentingan tertentu yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu. Abdul Wahab Arbain dalam manual UIS 304 : Pentadbiran Islam 1 menitik berat kepentingan maslahah ini yang perlu dijaga dalam Islam ialah agama, keselamatan, intelektual, kehormatan dan harta benda. Dengan sendirinya dalam praktis pengurusan, kepentingan tersebut wajib diambil kira apabila seseorang pengurus mengambil sesuatu tindakan atau membuat keputusan. Dalam pengurusan Islam, maslahah besar perlu diutamakan daripada maslahah kecil. Oleh itu, maslahah masyarakat lebih penting daripada maslahah organisasi. Manakala maslahah organisasi pula perlu diutamakan daripada maslahah individu.

2.Pemilihan pekerja yang layak dengan kerja yang bakal dilakukan

Dalam pengurusan Islam, majikan mempunyai hak untuk memilih mana-mana pekerja bagi organisasi perniagaannya. Meskipun begitu, pekerja yang dipilih mestilah pekerja yang sesuai dan layak. Pekerja yang layak tidak semestinya mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang baik ataupun pengalaman yang luas. Ini bermakna pekerja yang akan dipilih perlu serasi dan sesuai dengan nilai dan fahaman yang dikongsi bersama oleh individu di dalam organisasi tersebut. Jadi organisasi Islam akan memberi keutamaan kepada pekerja mereka yang terdiri daripada orang Islam. Hal ini disebabkan hanya pekerja Islam yang faham dan boleh mempraktiskan kerja sebagai satu ibadah untuk disesuaikan dengan budaya dan persekitaran dalaman sesebuah organisasi Islam.

3.Pemberian kerja atau penyerahan tugas yang berpadanan dengan kelayakan

Apabila seseorang individu diambil maka menjadi kewajipan majikan untuk memberitahunya jenis dan bentuk pekerjaan yang akan dilakukan. Pekerjaan tersebut mestilah sesuai dengan fitrah individu. Dalam Islam, tidak semua kerja sesuai untuk lelaki dan wanita. Bagi pekerjaan berat yang memerlukan perhatian peribadi seperti jururawat pula amat sesuai dengan fitrah wanita.

4.Penurunan autoriti dan kuasa yang wajar dalam pengurusan tugas

Seseorang pengurus tidak boleh melakukan kesemua kerja dalam jabatannya. Dengan sendirinya pengurus memerlukan pekerja bagi memudahkan urusan kerja. Pengurus akan memilih kerja atau tugasan yang sesuai untuk diserahkan kepada pekerja. Setiap pekerja mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan kerja masing-masing. Dalam memberikan kerja, seseorang pengurus mesti memberikan pekerja tersebut autoriti dan had kuasa bagi membolehkan beliau menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.
Kuasa yang diberikan perlulah wajar dengan autoriti kerja. Sekiranya kuasa yang diberikan kurang wajar dengan autoriti kerja, sudah tentu pekerja tersebut akan menghadapi masalah dalam menjalankan tugas nanti. Kejayaan penurunan kuasa sama ada kepada pekerja bawahan atau kepada pengurus cawangan terletak sebahagian besarnya kepada kepercayaan pihak pengurusan terhadap orang bawahan mereka.

5.Pertanggungjawaban pekerja kepada seorang ketua sahaja

Prinsip ini melihatkan tanggungjawab pekerja hanya kepada seorang ketua sahaja. Prinsip ini menerangkan bahawa seseorang pekerja perlu patuh dan taat kepada arahan dan perintah seorang ketua sahaja. Sekiranya seorang pekerja mempunyai dua ketua dalam satu masa yang sama sudah pasti keadaan ini akan mengelirukan dan membingungkan pekerja.

6.Pemberian ganjaran yang berpatutan

Seseorang pekerja bekerja untuk mendapat upah bagi menyara diri dan keluarganya. Sekiranya seseorang pekerja mendapat upah yang tidak berpadanan dengan kerja yang dilakukan, sudah tentu perkara sebegini akan melemahkan semangat dan motivasinya untuk bekerja. Hakim Mohamad Said dalam buku Hubungan Majikan-Pekerja Menurut Islam mengatakan kesesuaian upah yang berpatutan biasanya berdasarkan keadaan pasaran semasa upah dan tanggungan kos sara hidup seseorang pekerja

7.Pengawasan dan kawalan pekerja

Prinsip ini memberikan hak kepada pengurus untuk mengawas dan mengawal prestasi dan kelakuan pekerja semasa mereka bekerja. Perangai dan kelakuan pekerja perlu diawasi kerana kedua-dua faktor tersebut mempengaruhi prestasi kerja seseorang individu dan para pekerja yang lain. Seseorang pekerja yang malas sekiranya tidak diawasi akan mengambil kesempatan melakukan kerja yang tidak berfaedah kepada organisasi seperti melakukan kerja yang tidak berfaedah kepada organisasi seperti melakukan kerja-kerja peribadi, tidak produktif atau sengaja melengah-lengahkan kerja. Seseorang pengurus seharusnya bertanggungjawab memastikan pekerja menjalankan kerja yang telah diamanahkan kepada pekerja tersebut.

8.Latihan bina insan

Seseorang pekerja apabila bekerja di dalam sesebuah organisasi dengan sendirinya telah memperhambakan dirinya dalam waktu kerja yang ditetapkan kepada organisasi tersebut. Apa yang berlaku di sini ialah seseorang pekerja itu biasanya tidak lagi berpeluang untuk mempelajari ilmu pengetahuan terutama berkaitan dengan agama Islam kerana keseluruhan masa di pejabat digunakan untuk bekerja. Bagi pekerja Islam, mereka sudah tidak lagi berpeluang untuk meningkatkan kefahaman dan keimanan mereka tentang Islam.
Organisasi hari ini lebih banyak menitikberatkan latihan bercorak pengetahuan dan kemahiran kerja. Sesebuah organisasi Islam apabila mengadakan latihan perlu meletakkan latihan bercorak Islam sebagai rangkaian kepada latihan yang sedia ada. Latihan becorak Islam lebih menitikberatkan modifikasi kelakuan seseorang individu sama ada pengurus ataupun pekerja

9.Kebajikan pekerja

Islam amat mementingkan kebajikan pekerja. Seseorang majikan Islam tidak boleh meletakkan keuntungan maksimum semata-mata tanpa mengambil kira kepentingannya terhadap masyarakat dalaman dan luaran organisasi. Sebagai seorang saudara sesame Islam, beliau mestilah juga menjaga kepentingan dan keperluan pekerja. Tujuan kebajikan di dalam Islam adalah untuk meringankan beban yang ditanggung dan mengurangkan tekanan psikologi mental pekerja dalam menghadapi masalah peribadi yang akan mempengaruhi prestasi kerja mereka. Unsur kebajikan tidak semestinya berupa wang ringgit sahaja.

10.Penjagaan hak wajib pekerja Islam

Pekerja Islam selain mempunyai hak yang sama dengan pekerja lain juga mempunyai hak wajib tersendiri, iaitu hak untuk diperlakukan sebagai seorang Islam. Hak terpenting individu Islam adalah untuk menunaikan hak-hak yang khusus dan perlu dilindungi oleh majikan. Antara hak-hak yang utama adalah seperti berikut :

Upah yang setimpal
Majikan hendaklah member upah berdasarkan kepada keperluan asasi yang perlu dipenuhi oleh seseorang pekerja.

Penentuan bebanan pekerjaan

Dalam Islam, pekerja hendaklah terus bekerja tanpa memberatkan dirinya seperti hadis Rasulullah saw : “Janganlah kamu membebankan pekerja di luar kemampuannya”.

Bentuk pekerjaan 

Majikan tidak boleh memaksa pekerja untuk melakukan tugas yang tidak setimpal dengan kemampuannya. Jenis pekerjaan hendaklah sesuai dengan ajaran Islam.

Hak memilih pekerjaan lain

Para pekerja bebas untuk memilih pekerjaannya sendiri dan mengembara ke mana sahaja untuk mencari rezeki yang halal.

Kebersihan dan kesihatan

Majikan perlu menjaga kesihatan pekerjanya dan menyediakan tempat kerja yang bersih.

TANGGUNGJAWAB PEKERJA


انتارا تڠڬوڠجواب ڤكرجا
أمانه
سساورڠ ڤكرجا ڤرلو ممڤوڽاءي سيكڤ أمانه دالم ستياڤ ڤكرجأنڽ سام اد يڠ مليبتكن اوروسن ڤريبادي ﴿دالم ملقساناكن تڠڬوڠجواب كڤد الله﴾ اتاو اوروسن كمسيراكاتنڽ ﴿توڬس اتاو تڠڬوڠجواب يڠ دبريكنكڤداڽ﴾ سچارا كونساستن.

عاديل
ممڤوڽاءي سيكڤ عاديل دالم ڤڠندالين اوروسن اورڠ لاين دان تيدق منظاليمي مريك دڠن تيدق مڽراهكن اڤ يڠ منجادي حق مريك.

تكون
كتكونن اداله ساتو صفة يڠ دڤرلوكن اوليه سساورڠ ڤكرجا. ستياڤ ڤكرجا اكن داڤت منيڠكتكن كچكڤن مريك دالم منجالنكن توڬس سكيراڽ مريك تكون

سمڤورنا
سساورڠ ايت ڤرلو ملقساناكن كرجا دڠنسمڤورنا، والاوڤون ترڤقسا مڠوربنكن كڤنتيڠن ديري سنديري.

برساتو ڤادو
ستياڤ ڤكرجا ممرلوكن سيكڤ مڽاتوڤدوكن اوسها مريك سوڤاي متلامت اورڬانيساسي ترچاڤاي. سكيراڽ تيدق اد ڤرڤادوان، سوده تنتو اورڬانيساسي تيدق منجالنكن اكتيۏيتيڽ دڠن بركسن دان سمڤورنا

ڤرودوقتيۏيتي
ڤرودوقتيۏيتي سسبواه كومڤولن كرجا دالم سسبواه اورڬانيساسي ڤرلو دڤرتيڠكتكن دالم منمبهكن كواليتي دان موتو اورڬانيساسي دالم منچاڤأي متلامت. جك ڤرودوقتيۏيتي سسبواه اورڬانيساسي ايت تيدق مڠالمي ڤروبهن اتاو ڤنيڠكتن، اي اكن مڽببكن موتو دان كواليتي منورون دان تيدق داڤت منچاڤأي متلامت يڠ دهارڤكن.

كبهاڬيءن مأنسي سجاڬت
ستياڤ ڤكرجا هندقله ممبري لاينن دان خدمت يڠ سام كڤد سموا اورڠ تنڤا مڠيرا قوم اتاوڤون اڬام اورڠ يڠ بركاءيتن منوروت اجرن اسلام. سباڬايمان حديث نبي ساو يڠ برمقصود :
"سسوڠڬوهڽ الله مڽوكاي اورڠ يڠ تيدق مڽوكر-ڽوكركن ڤكرجأن دان يڠ جرنيه موكاڽ دالم مڠهادڤي مأنسي."