Thursday, 8 December 2016

ETIKA KERJA ISLAM, TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DAN PEKERJA

PENGENALAN

Setiap profesion mempunyai etikanya yang tersendiri. Semakin tinggi taraf keprofesionalan sesuatu bidang, maka semakin tinggi dan tegas kod etika profesion tersebut. Sejarah telah membuktikan kepentingan etika dalam kehidupan dan ianya telah menjadi topik perbincangan sejak zaman dahulu lagi. Etika merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kerana ianya menjadi asas untuk seseorang bertindak yang akhirnya menjadi nilai yang dihormati dan diterima-pakai dalam masyarakat. Begitu juga denga pengurusan dalam Islam. Ianya mempunyai etika tersendiri yang mampu menyumbang kepada kejayaan dan kemantapan sesebuah organisasi yang dipimpin.

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DAN PEKERJA

Pengenalan

Dalam Islam, etika atau moral ini mirip kepada konsep akhlak walaupun ianya berbeza dengan moral Barat. Hal ini kerana akhlak dalam Islam, dasarnya ditentukan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Ianya bersifat mutlak, menyeluruh dan mempunyai pertimbangan dosa dan pahala.

Kepentingan etika

Antara kepentingan etika ialah :
  1. Memupuk nilai dan sikap yang positif dalam sesebuah organisasi.
  2. Membentuk kawalan dalaman di kalangan warga organisasi dan mengukuhkan sistem kawalan luaran sedia ada.
  3. Membentuk budaya positif dalam organisasi.
  4. Satu usaha menuju ke arah kecemerlangan dan membentuk motivasi yang unggul.
  5. Menggalakkan persaingan yang sihat berdasarkan etika kerja yang disepakati.
  6. Membantu mengurangkan pelbagai bentuk penyelewengan dalam organisasi.
  7. Menyumbang kepada pembentukan organisasi yang berintegriti dan dihormati
Etika Kerja Islam

Islam juga telah menggariskan etika kerja yang perlu dihayati oleh para penganutnya dalam aktiviti harian mereka. Etika kerja ini merupakan salah satu aspek utama dalam system pengurusan Islam. Sebagai garis panduan, Prof Dr. Muhammad Abdul Rauf telah mengemukakan sepuluh etika kerja yang perlu dipraktikkan untuk mewujudkan Sistem Pengurusan Islam yang kukuh.

Etika kerja tersebut, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

Etika kerja untuk semua peringkat
  1. Objektif jangka panjang di dunia ini hendaklah dihubungkaitkan dengan objektif jangka panjang yang sebenarnya iaitu beribadah kepada Allah swt dan memohon keredaan-Nya.
  2. Nilai-nilai agama dan moral hendaklah diambil kira semasa bekerja.
  3. Masa mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya dan bukan untuk disia-siakan.
  4. Nilai-nilai luhur dalam etika Islam seperti amanah, dedikasi, disiplin, kejujuran, menahan diri dan ketakwaan hendaklah diamalkan.
  5. Sikap menilai diri sendiri mestilah sentiasa diamalkan supaya kesalahan atau kesilapan tidak dilakukan dengan berulang-kali.
Etika kerja yang lebih relevan kepada pucuk pimpinan dalam pentadbiran
  1. Tidak harus ada pilih kasih atau diskriminasi dalam sistem pentadbiran.
  2. Keperluan dan keadaan manusia hendaklah dipertimbangkan dalam memberi sesuatu tugas dan layanan kepada para pekerja.
  3. Gaji yang adil hendaklah dibayar dengan cepat.
  4. Perlu ada ganjaran yang berpatutan untuk pencapaian yang cemerlang dan langkah-langkah yang cukup untuk mengesan dan mengelakkan pelanggaran peraturan.
  5. Musyawarah dan kerjasama seharusnya diamalkan dengan sepenuhnya

No comments:

Post a Comment