Thursday, 8 December 2016

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN

Antara tanggungjawab majikan :

1.Mengambil kira maslahah

Maslahah ialah penjagaan kepentingan tertentu yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu. Abdul Wahab Arbain dalam manual UIS 304 : Pentadbiran Islam 1 menitik berat kepentingan maslahah ini yang perlu dijaga dalam Islam ialah agama, keselamatan, intelektual, kehormatan dan harta benda. Dengan sendirinya dalam praktis pengurusan, kepentingan tersebut wajib diambil kira apabila seseorang pengurus mengambil sesuatu tindakan atau membuat keputusan. Dalam pengurusan Islam, maslahah besar perlu diutamakan daripada maslahah kecil. Oleh itu, maslahah masyarakat lebih penting daripada maslahah organisasi. Manakala maslahah organisasi pula perlu diutamakan daripada maslahah individu.

2.Pemilihan pekerja yang layak dengan kerja yang bakal dilakukan

Dalam pengurusan Islam, majikan mempunyai hak untuk memilih mana-mana pekerja bagi organisasi perniagaannya. Meskipun begitu, pekerja yang dipilih mestilah pekerja yang sesuai dan layak. Pekerja yang layak tidak semestinya mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang baik ataupun pengalaman yang luas. Ini bermakna pekerja yang akan dipilih perlu serasi dan sesuai dengan nilai dan fahaman yang dikongsi bersama oleh individu di dalam organisasi tersebut. Jadi organisasi Islam akan memberi keutamaan kepada pekerja mereka yang terdiri daripada orang Islam. Hal ini disebabkan hanya pekerja Islam yang faham dan boleh mempraktiskan kerja sebagai satu ibadah untuk disesuaikan dengan budaya dan persekitaran dalaman sesebuah organisasi Islam.

3.Pemberian kerja atau penyerahan tugas yang berpadanan dengan kelayakan

Apabila seseorang individu diambil maka menjadi kewajipan majikan untuk memberitahunya jenis dan bentuk pekerjaan yang akan dilakukan. Pekerjaan tersebut mestilah sesuai dengan fitrah individu. Dalam Islam, tidak semua kerja sesuai untuk lelaki dan wanita. Bagi pekerjaan berat yang memerlukan perhatian peribadi seperti jururawat pula amat sesuai dengan fitrah wanita.

4.Penurunan autoriti dan kuasa yang wajar dalam pengurusan tugas

Seseorang pengurus tidak boleh melakukan kesemua kerja dalam jabatannya. Dengan sendirinya pengurus memerlukan pekerja bagi memudahkan urusan kerja. Pengurus akan memilih kerja atau tugasan yang sesuai untuk diserahkan kepada pekerja. Setiap pekerja mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan kerja masing-masing. Dalam memberikan kerja, seseorang pengurus mesti memberikan pekerja tersebut autoriti dan had kuasa bagi membolehkan beliau menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.
Kuasa yang diberikan perlulah wajar dengan autoriti kerja. Sekiranya kuasa yang diberikan kurang wajar dengan autoriti kerja, sudah tentu pekerja tersebut akan menghadapi masalah dalam menjalankan tugas nanti. Kejayaan penurunan kuasa sama ada kepada pekerja bawahan atau kepada pengurus cawangan terletak sebahagian besarnya kepada kepercayaan pihak pengurusan terhadap orang bawahan mereka.

5.Pertanggungjawaban pekerja kepada seorang ketua sahaja

Prinsip ini melihatkan tanggungjawab pekerja hanya kepada seorang ketua sahaja. Prinsip ini menerangkan bahawa seseorang pekerja perlu patuh dan taat kepada arahan dan perintah seorang ketua sahaja. Sekiranya seorang pekerja mempunyai dua ketua dalam satu masa yang sama sudah pasti keadaan ini akan mengelirukan dan membingungkan pekerja.

6.Pemberian ganjaran yang berpatutan

Seseorang pekerja bekerja untuk mendapat upah bagi menyara diri dan keluarganya. Sekiranya seseorang pekerja mendapat upah yang tidak berpadanan dengan kerja yang dilakukan, sudah tentu perkara sebegini akan melemahkan semangat dan motivasinya untuk bekerja. Hakim Mohamad Said dalam buku Hubungan Majikan-Pekerja Menurut Islam mengatakan kesesuaian upah yang berpatutan biasanya berdasarkan keadaan pasaran semasa upah dan tanggungan kos sara hidup seseorang pekerja

7.Pengawasan dan kawalan pekerja

Prinsip ini memberikan hak kepada pengurus untuk mengawas dan mengawal prestasi dan kelakuan pekerja semasa mereka bekerja. Perangai dan kelakuan pekerja perlu diawasi kerana kedua-dua faktor tersebut mempengaruhi prestasi kerja seseorang individu dan para pekerja yang lain. Seseorang pekerja yang malas sekiranya tidak diawasi akan mengambil kesempatan melakukan kerja yang tidak berfaedah kepada organisasi seperti melakukan kerja yang tidak berfaedah kepada organisasi seperti melakukan kerja-kerja peribadi, tidak produktif atau sengaja melengah-lengahkan kerja. Seseorang pengurus seharusnya bertanggungjawab memastikan pekerja menjalankan kerja yang telah diamanahkan kepada pekerja tersebut.

8.Latihan bina insan

Seseorang pekerja apabila bekerja di dalam sesebuah organisasi dengan sendirinya telah memperhambakan dirinya dalam waktu kerja yang ditetapkan kepada organisasi tersebut. Apa yang berlaku di sini ialah seseorang pekerja itu biasanya tidak lagi berpeluang untuk mempelajari ilmu pengetahuan terutama berkaitan dengan agama Islam kerana keseluruhan masa di pejabat digunakan untuk bekerja. Bagi pekerja Islam, mereka sudah tidak lagi berpeluang untuk meningkatkan kefahaman dan keimanan mereka tentang Islam.
Organisasi hari ini lebih banyak menitikberatkan latihan bercorak pengetahuan dan kemahiran kerja. Sesebuah organisasi Islam apabila mengadakan latihan perlu meletakkan latihan bercorak Islam sebagai rangkaian kepada latihan yang sedia ada. Latihan becorak Islam lebih menitikberatkan modifikasi kelakuan seseorang individu sama ada pengurus ataupun pekerja

9.Kebajikan pekerja

Islam amat mementingkan kebajikan pekerja. Seseorang majikan Islam tidak boleh meletakkan keuntungan maksimum semata-mata tanpa mengambil kira kepentingannya terhadap masyarakat dalaman dan luaran organisasi. Sebagai seorang saudara sesame Islam, beliau mestilah juga menjaga kepentingan dan keperluan pekerja. Tujuan kebajikan di dalam Islam adalah untuk meringankan beban yang ditanggung dan mengurangkan tekanan psikologi mental pekerja dalam menghadapi masalah peribadi yang akan mempengaruhi prestasi kerja mereka. Unsur kebajikan tidak semestinya berupa wang ringgit sahaja.

10.Penjagaan hak wajib pekerja Islam

Pekerja Islam selain mempunyai hak yang sama dengan pekerja lain juga mempunyai hak wajib tersendiri, iaitu hak untuk diperlakukan sebagai seorang Islam. Hak terpenting individu Islam adalah untuk menunaikan hak-hak yang khusus dan perlu dilindungi oleh majikan. Antara hak-hak yang utama adalah seperti berikut :

Upah yang setimpal
Majikan hendaklah member upah berdasarkan kepada keperluan asasi yang perlu dipenuhi oleh seseorang pekerja.

Penentuan bebanan pekerjaan

Dalam Islam, pekerja hendaklah terus bekerja tanpa memberatkan dirinya seperti hadis Rasulullah saw : “Janganlah kamu membebankan pekerja di luar kemampuannya”.

Bentuk pekerjaan 

Majikan tidak boleh memaksa pekerja untuk melakukan tugas yang tidak setimpal dengan kemampuannya. Jenis pekerjaan hendaklah sesuai dengan ajaran Islam.

Hak memilih pekerjaan lain

Para pekerja bebas untuk memilih pekerjaannya sendiri dan mengembara ke mana sahaja untuk mencari rezeki yang halal.

Kebersihan dan kesihatan

Majikan perlu menjaga kesihatan pekerjanya dan menyediakan tempat kerja yang bersih.

No comments:

Post a Comment