Madinah adalah merupakan sebuah kota yang mempunyai masyarakat
majmuk, yang terdiri daripada etnik Arab dan etnik Yahudi. Orang Yahudi terdiri
daripada tiga kabilah, iaitu Qainuqa’, al-Nadir dan Quraizah. Antara
kabilah-kabilah ini tidak aman kerana adanya perbalahan dan rebutan antara
mereka. Manakala di kalangan orang Arab pula terdiri daripada beberapa suku
kaum, seperti Khazraj dan Aus. Keadaan mereka sentiasa bermusuhan, sama ada
antara etnik dan kabilah atau suku kaum. Orang Arab Madinah samalah dengan
orang Arab lain, menganuti kepercayaan keberhalaan, memuja dan menyembah
patung-patung berhala.
Disamping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa
membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam.
Untuk mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasullah SAW membuat perjanjian
dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis satu piagam negara Islam pertama
yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah, beliau telah
mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika
itu.
Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah.
- Membina masjid = Baginda telah membeli sebidang tanah untuk tapak masjid dengan harga sepuluh dinar yang dipungut daripada derma ikhlas para sahabat. Masjid ini dibina supaya ia menjadi sebuah parlimen untuk menyatupadukan ummah, sebuah universiti bagi mengajar soal-soal keagamaan dan keduniaan, sebuah mahkamah untuk kehakiman, sebuah rumah tumpangan bagi pengembara dan tempat di mana solat didirikan secara berjemaah
- Program Keluarga angkat = Program keluarga angkat yang diamalkan pada masa kini sebenarnya telah diperkenalkan oleh Islam semenjak 14 abad yang lampau. Ia mencerminkan satu pengurusan yang bervisi yang mempunyai kesan jangka panjang dalam menjayakan sesuatu kempen kemasyarakatan. Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW ialah menjalinkan kemesraan antara golongan Muhajirin dan Ansar di mana setiap orang daripada Muhajirin akan mengambil seorang saudara angkat daripada Ansar.
- Perjanjian dengan Yahudi = Rasulullah SAW membuat perjanjian bertulis dengan yahudi. Dalam perjanjian tersebut diakui dan ditetapkan bahwa setiap golongan memiliki hak yang sama serta mempunyai kebebasan menjalankan syariat agamanya masing- masing dengan dasar saling menghormati dan menghargai. Setiap golongan wajib menjaga dan memelihara utuhnya kedaulatan kota madinah serta bersedia menjadi pembela yang setia jika terjadi ancaman dan serangan musuh dari luar kota.Mereka akan menjadikan kota madinah sebagai Madinatul haram atau kota suci yang harus terpelihara kesuciannya.
Aspek-aspek Utama Piagam Madinah
Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang
wajib dipatuhi dan dihormati. Apa-apa masalah besar antara penduduk Islam
dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk
diselesaikan. Walaubagaimana pun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk
menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.
- Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak terpengaruh dengan apa – apa elemen yang tidak baik dari luar.
- Semua penduduk hendaklah bersatu-pada, berkerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa -apa serangan musuh.
- Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing – masing, dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.
- Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut
- Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad.
Hal ini menunjukkan pencapaian besar Rasulullah SAW dalam
pelaksanaan hijrah dan mengubah landskap akidah, undang-undang dan akhlak
masyarakat jahiliah adalah kerana kecemerlangan perancangan yang strategik.
Rasulullah SAW menyedari walaupun Islam baru bertapak di Makkah, tetapi ia
memiliki kekuatan untuk membina masa depan manusia selari dengan standard
piawaian yang ditetapkan Allah. Oleh yang demikian, kepimpinan Rasulullah dalam
merancang dan menguruskan pentadbiran perlu dicontohi bagi melahirkan sistem
pengurusan yang terancang dan sistematik.
No comments:
Post a Comment